Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

KOLUM: AKU BUKAN LALANG

KELUARAN: 1 [15.4.2014]

AKU BUKAN LALANG :CERITA KAKI SHOPPING
DITULIS OLEH: CIK PADI


Hari sabtu.  Pada hari ini kelihatan sekumpulan anak gadis muda mengunjungi kompleks membeli belah terkemuka di Kuala Lumpur untuk meluangkan masa hujung minggu mereka. Pada mulanya, Aina dan Khaira keberatan untuk mengikuti Sherry dan Azura ke situ.  Setelah didesak beberapa kali, mereka akhirnya mengalah dan akhirnya berada di sini. 
                Aina hanya memenuhi ajakan Sherry dan Azura tetapi tidak berniat untuk membeli belah seperti kedua-dua gadis itu yang terkenal sebagai kaki shopping.  Khaira pula kelihatan teruja untuk turut sama membeli-belah apabila dia turut teruja melihat pelbagai barangan yang dibeli oleh Sherry dan Azura.  Terpamer riak cemburu di wajah Khaira apabila Sherry dan Azura dapat membeli pelbagai barangan yang mereka sukai meskipun barangan seperti kasut dan beg tangan yang dibeli mahal harganya.
                “Aina, aku suka sangat tengok rantai yang Sherry beli tadi.  Aku rasa aku nak beli juga”, ujar Khaira penuh keterujaan.  Aina hanya menarik nafas dalam.  Jauh di sudut hatinya, dia tidak suka melihat Khaira begitu.
                “Khaira, kau tak nak beli ke?”,Azura mengunjukkan rantai aksesori yang bertatahkan kristal dengan pembuatannya yang unik itu kepada Khaira dan Aina.  Aina melihat tag harga yang tertera di rantai tersebut.  Tertera RM45 di situ.  Aina mencebik menunjukkan reaksi tidak minatnya.  Aina menjeling reaksi Khaira.  Mata gadis itu  bersinar-sinar.  Sherry kelihatannya  sudahpun bergegas ke kaunter pembayaran.
                Rantai itu ditelek dengan baik.  Khaira melihat bagaimana Azura mengenakan rantai itu dilehernya sebentar tadi.  Memang cantik.  Menurut Azura, kalau tidak dibeli sekarang, bila lagi?  Mungkin sahaja trend terbaru akan muncul jika mahu membelinya beberapa bulan lagi.  Khaira menganggukkan kepala, lantas menuju ke arah deretan aksesori rantai yang dibeli Azura dan Sherry.  Aina mengikutnya dari belakang.
                “Khaira…kau nak beli juga rantai tu?,”soal Aina separuh berbisik.  Dia mencuri pandang ke arah Azura dan Sherry yang sibuk di kaunter pembayaran.
                “Rugi kalau tak beli Aina.  Kau tak nak ke?,” soal Khaira pula cuba mempengaruhi Aina.
                “Kalau nak ikutkan si Zura dan Sherry, tak berduitlah aku…,” ujar Aina spontan.  Dia sebenarnya geram melihat Khaira yang mudah terpengaruh terhadap gaya hidup Azura dan Sherry yang suka bermewah-mewah.
                “Hmm…yang warna ungu ni cantik,” kata-kata Aina seperti tidak terkesan kepada Khaira.
                “Khaira, lupakan saja rantai ni.  Bukan boleh dibuat makan.  Duit kau pun tinggal berapa dalam bank tu?  Pinjaman PTPTN kau bukan untuk dihabiskan dengan cara ni. Harga rantai RM45 ni kau boleh gunakan untuk projek semester ni. Cuba kau fikir baik-baik,”Aina cuba menasihati sahabat baiknya itu.  Dia tahu, Khaira cuba untuk menyamakan standard dirinya dengan Azura dan Sherry yang sentiasa nampak cantik di dalam pakaian dan perhiasan diri yang mewah.
                “Tapi, sayang betul kalau tak beli sekarang”,ujar Khaira yang kelihatannya kecewa.
                “Sudah…letak balik rantai tu.  Ingat pada family…kita tak sama macam Azura dan Sherry.  Mereka tu anak orang kaya,” Rantai itu diletakkan semula di tempatnya.  Aina menarik tangan Khaira keluar daripada kedai itu.

REAKSI CIK PADI
TANGANI AJAKAN NAFSU

Wanita dikurniakan sembilan nafsu dan menjadi lumrah buat kaum ini untuk jatuh cinta kepada material-material yang cantik dan indah.  Oleh itu wanita sinonoimnya dikaitkan dengan aktiviti shopping ini.  Walau bagaimana pun, teori ini haya boleh diguna pakai buat kaum wanita yang dikategori sebagai Manusia LALANG.
                Tidak salah untuk meluangkan waktu membeli-belah namun setiap perbuatan itu harus ada keterbatasannya.  Rasulullah juga menganjurkan agar manusia itu mengamalkan gaya hidup bersederhana.  Seperti yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w di dalam sebuah hadisnya yang bermaksud:
                                “Kebanyakan penghuni syurga adalah orang-orang yang berfikiran sederhana”
                                                                                                                [Riwayat Imam Baihaqi dalam Syu’abul Iman]
                Kesederhanaan yang dianjurkan Rasulullah bermaksud, setiap perkara yang kita lakukan disusuli dengan fikiran yang waras dan tidak berlebih-lebihan.  Hal ini seharusnya diadaptasikan ke dalam cara kita mengawal kewangan.  Dengan kata lain, akal berfungsi sebagai pengawal kepada nafsu yang sering menipu pandangan mata kita.  Kebiasannya kita banyak menghabiskan wang pada perkara yang tidak perlu.  Ingatkan diri sendiri ketika membeli samada barang yang kita pilih itu memenuhi kehendak ataupun keperluan.
                Perkara yang paling penting perlu dilihat ketika berbelanja adalah, adakah kita digolongkan dalam kategori mereka yang bernasib baik.  Adakah keluarga kita dilimpahi kekayaan dan harta dimana kita boleh membelanjakan wang kita untuk apa jua keadaan?  Jika jawapan saudara adalah tidak, maka muhasabah diri supaya sentiasa mengingati kedudukan diri.  Wang yang ada adalah untuk saran diri ataupun ia boleh dikongsikan bersama ahli keluarga yang memerlukan.  Sentiasa ingat orang lain dan ajar diri supaya tidak mementingkan diri sendiri.
                Ajar nafsu kita untuk berbuat kebaikan kerana nafsu itu harus diajar dengan taqwa dan kebaikan-kebaikan.  Kebiasaannya kita akan menjadi kedekut untuk menghulurkan wang kita kepada orang lain.  Waktu itu nafsu memberitahu bahawa wang yang ada sepatutnya digunakan untuk beberapa keperluan kita.  Nafsu menyekat rasa kedermawaan kita seterusnya menghalang proses pelaburan saham akhirat.  Wang yang berlebihan seharusnya di salurkan kepada tempat yang memerlukan seperti ahli keluarga kita, sahabat handai, masjid atau agensi-agensi kebajikan.           
“Dan ia mencegah dirinya dari hawa nafsu, maka sesungguhnya syurgalah menjadi tempat tinggalnya.”
[An-Nazi’at: 40-41]

TINGGALKAN DUNIA

Sebagai manusia yang lemah kita terlupa bahawa syaitan dan nafsu adalah musuh nombor satu manusia.  Wanita kebiasaannya membeli berdasarkan nafsu, sehingga menyebabkan baget sebenar kita tersasar. Dua perkara asas yang perlu diingati sewaktu aktiviti membeli-belah adalah Kehendak dan Keperluan.
                Membeli sesuatu diluar keperluan menjadikan kita seorang manusia yang suka membazir.  Pembaziran adalah sesuatu yang tidak disukai Allah dan bukanlah satu amalan seorang Muslim.  Firman Allah Taala yang bermaksud:
“membazir sahabat syaitan”
                Sesungguhnya dunia adalah hamparan ujian buat manusia.  Walhal tujuan utama manusia itu dicampakkan di dunia adalah untuk beribadah kepada Allah Taala.  Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya dunia itu indah dan menawan hati, dan bahwasanya Allah Taala menjadikan kamu sebagai orang-orang yang mewarisinya, maka Dia sentiasa memerhatikan apa yang kamu lakukan.”
Segala ciptaan yang ada di muka bumi ini diciptakan untuk kepentingan manusia.  Sebagai seorang hamba kepada Penciptanya, tidak semua benda di dunia ini boleh kita miliki kerana setiap orang itu mempunyai bahagian mereka masing-masing.  Hidup, jodoh dan ajal adalah sesuatu yang menjadi rahsia Allah buat seseorang manusia.
Kenikmatan-kenikmatan di dunia ini hanya bersifat sementara.  Perasaan gembira memiliki barangan yang kita beli dan kita punyai pun hanya bersifat sementara.  Setelah beberapa ketika kita menggunakannya keinginan terhadap perkara yang baru pula akan muncul.  Segala harta yang kita beli tidak boleh di bawa mati.  Jelas nilaian kenikmatan dunia tidak membawa kegembiraan selama-lamanya. 
Rasulullah s.a.w pada suatu hari terjumpa seekor bangkai kambing di tepi jalan.  Maka baginda bertanya kepada para sahabat: Tidakkah kamu melihat bahawa kambing ini tiada berharga lagi kepada tuannya?  Mereka menjawab:  Benar katamu, maka sebab itulah tuannya telah membuangnya.  Maka Rasulullah s.a.w bersabda:
“Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggamanNya, bahawasanya dunia ini adalah lebih tidak berharga lagi di sisi Allah daripada kambing ini kepada tuannya.  Andaikata dunia itu dipandang berharga menyamai selembar sayap seekor nyamuk di sisi Allah, nescaya Dia tidak akan memberi minuman seorang kafir meskipun seteguk air.”
               
PENDIRIAN SAYA

Manusia yang kuat adalah merek yang memegang erat prinsip.  Tidak akan tergugah dilanda badai tidak akan roboh dengan goncangan angin.  Manusia PADI punya akar yang tunjang. Tetap dan kuat mencengkam tanah.  Biarlah persekitaran dan budaya berbeza namun mereka tetap berpandu kepada prinsip yang teguh.
                Prinsip seorang Muslim itu pada agamanya.  Mereka ini tegas dengan pendirian dan menepis sebarang godaan.  Kata mereka, Islam itu tidak mengikut zaman tapi zamanlah yang mengikut Islam.  Panduan yang kita pakai adalah sempurna iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.  Kedua-duanya menjadi rujukan kehidupan di sepanjang zaman.  Tidak pernah bersifat jumud mahupun ketinggalan.
                Manusia PADI akan menepis sebarang godaan dan cubaan dengan akal yang waras.  Meletakkan sesuatu perkara dan perbuatan pada tempatnya.  Mereka inilah yang berusaha membawa persekitaran kepada kebaikan dan bukan mereka yang ditelenggami badai perubahan.  Mereka bijak mengatur diri dan menyelesaikan permasalahan.
Situasi yang diceritakan dalam sketsa di atas adalah realiti kehidupan. Contoh yang diberikan hanyalah satu daripada berjuta kisah kecil manusia.  Boleh jadi kita adalah diantara mereka yang mahukan perhatian dengan mencemburi kemewahan orang lain.  Lantas, kita yang tidak cukup ini cuba mengatasi kelebihan orang lain dengan membeli kebendaan yang kita idam-idamkan.  Sama sahaja situasinya seperti berlumba-lumba membeli langsir dan perabot raya semata-mata untuk mengatasi jiran di sebelah.  Manusia LALANG berpendapat, Biar Papa Asalkan Bergaya.

KISAH WANITA PADI UNTUK PEDOMAN

Sudah lumrah, wanita amat menyukai kecantikan.  Tiada salahnya untuk berbelanja.  Ada yang mengatakan shopping adalah salah satu cara untuk menangani stress.  Tetapi perlu diingati, manusia mempunyai pelbagai kelas di dalam masyarakat.  Kaya, sederhana dan miskin. 
Gadis yang bernama Khaira cuba untuk menyesuaikan dirinya bersama Azura dan Sherry dan mahu menjadi seperti mereka. Terdapat pepatah yang mengatakan, masuk kandang kambing mengembik masuk kandang lembu menguak.  Ini adalah situasi yang cuba diaplikasikan Khaira di dalam kehidupannya.
                Kisah Aina, Khaira, Azura dan Sherry adalah realiti kehidupan yang dihadapi oleh segenap lapisan masyarakat.  Dalam sedar dan tidak sedar, kita kadangkala mudah ditiup oleh ajakan dan pengaruh rakan di sekeliling kita.  Khaira sememangnya beruntung kerana mempunyai sahabat seperti Aina.  Gadis seperti Aina inilah yang dikatakan sebagai sahabat sejati.  Sedia mengingatkan sahabat saat mereka alpa dan terleka.
                Khaira di dalam kisah ini sepertinya sudah lupa terhadap kemampuan ekonomi yang dimilikinya.  Ditambah lagi, sumber ekonomi sepanjang dia belajar di universiti adalah daripada pinjaman pelajarannya sendiri.  Khaira cuba untuk menggunakan wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk pelajarannya dengan membelanjakannya ke arah yang sia-sia.                 
Terdapat sebuah kisah yang PADI perolehi daripada salah seorang rakan baik PADI.  Kisah mengenai seorang gadis yang sebaya dengan Khaira.  Gadis ini tidak mempunyai apa-apa yang istimewa.  Dia tidak mempunyai baju mewah dan cantik untuk digayakan, juga tidak mempunyai ibu bapa yang kaya untuk dibanggakan.  Gadis muda ini dikenali kerana kebijaksanaannya dan karisma yang ditunjukkannya di dalam kepimpinan pelajar di universitinya.
Gadis bijak ini dikurniakan biasiswa pelajaran dan biasiswa itu diberikan atas hasil usahanya yang bersungguh-sungguh.  Saban bulan, gadis ini tidak menghabiskan masanya di temapt-tempat hiburan yang kebiasaannya diluangkan oleh kebanyakan pelajar di hujung minggu.  Cukuplah baginya untuk meluangkan masa sekali-sekala di pasar malam yang selalunya berlangsung pada hari sabtu.  Pasar itu juga tidak jauh daripada kampusnya.
Gadis luar biasa yang sederhana ini mempunyai hati yang mulia.  Dia bersandar pada realiti dan tidak malu sekiranya ajakan kawan-kawan untuk menghabiskan masa di luar kampus ditolak.  Semuanya kerana dia sedar, dia bukan berada di universiti untuk berhibur dan membelanjakan wang biasiswanya dengan sia-sia.
Sahabat baiknya yang juga merupakan teman baik PADI bertanya.  Hairan mengapa dia tidak menggunakan wang biasiswanya yang banyak itu untuk berhibur dan berlibur.  Walhal mereka sekarang ini sudah pun berada di tahun akhir pengajian.  Sudah masanya untuk berhibur sedikit sebelum bergraduasi daripada universiti. 
Sahabatnya bertanya, “Minggu depan Persatuan Fakulti nak buat gathering di Genting.  Kau nak join?”, soal teman PADI.  Gadis itu hanya menggeleng
“Duit biasiswa kau kan banyak, masa inilah untuk bergembira!  Kita dah nak grad,”ujar sahabat PADI cuba bercanda.  Dia hanya tersenyum sambil menyelak kembali beberapa helaian kertas assignment yang mahu disiapkannya.
“Kemana perginya duit biasiswa kau selama ini?  Aku yakin, masih banyak di dalam simpanan kau bukan? ,” soalnya tidak puas hati.  Gadis itu menggeleng.  Sahabat PADI bertambah curiga.  Gadis itu tersenyum.
“Duit aku?  Memang banyak!,”ujarnya pula bercanda.
“Kalau begitu, guna sahaja untuk minggu depan,”saran teman PADI lagi.
“Kau tahu bukan, ayah aku bukannya manager mahupun lawyer.  Hanya petani biasa”,pernyataannya yang tiba-tiba itu agak memeranjatkan teman PADI.
“Maksudnya….”,
“Ya, sedikit dari biasiswa aku berikan pada ayah dan mak aku.  Memang seronok kalau dapat berkumpul dengan kawan-kawan, tapi aku lebih pentingkan kegembiraan keluarga aku” ujarnya dengan senyuman yang tulus.  Sahabat PADI terkedu.  Terasa kata-kata itu menempel di mukanya.  Ya, tidak semua manusia di bumi ini mempunyai latar belakang yang sama.

Kisah Khaira dan rakan-rakannya boleh dijadikan pedoman.  Menjadi Manusia PADI adalah sukar, namun manusia inilah manusia yang berjaya.  Beberapa tindakan yang boleh CIK PADI adalah:

1-      Jangan bersahabat dengan mereka yang menyukai dunia.  Carilah sahabat yang sentiasa mengingatkan kita tentang akhirat.
2-      Sentiasa tahu dan sedar kedudukan diri kita dalam membuat keputusan.  Fikir dahulu sebelum membeli.  Adakah barangan itu adalah satu keperluan atau satu kehendak
3-      Mengajar diri untuk menjauhi kenikmatan dunia yang bersifat sementara
4-      Mengawal nafsu dan menggunakan akal fikiran ketika membuat keputusan pembelian GRAPE DOT COM


No comments:

Post a Comment