Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

AKU BUKAN LALANG: JOM SOLAT!

KELUARAN: 2 [20.11.2014]
AKU BUKAN LALANG : JOM SOLAT!
DITULIS OLEH: CIK PADI

Di sebuah kepulauan yang permai dan indah, sekumpulan perancang projek untuk membina resort sedang berkumpul sambil membentangkan pelan tindakan yang telah dilaksanakan setakat ini.  Jam setakat ini menunjukkan pukul 1.30 petang dan waktu zohor semakin mendekati.  Sibuk sahaja kelihatannya  sekumpulan pekerja yang terkenal dengan sikap dedikasinya ini.  Kumpulan yang berjaya melakar beberapa siri kejayaan di peringkat kebangsaan.
                Jauh di hujung pesisir pantai, sayup-sayup kedengaran azan berkumandang.  Abdul Razak yang merupakan ketua projek melihat ke jam tangannya.  Dia mengangguk, nampaknya sudah tiba waktu makan tengahari.  Namun, dia menahan sahaja hasratnya itu melihatkan pekerja-pekerja bawahannya masih lagi sibuk berbincang mengenai projek yang dikendalikan mereka.
                Hassan, seorang anak muda yang baru sahaja menyertai kumpulan ini kelihatan resah.  Wajahnya itu dapat dikesan oleh Abdul Razak.  Jadi dia memutuskan agar perbincangan harus dihentikan seketika.
                “Sekarang sudah 1.35 petang.  Apa kata kita berhenti dulu dan cari tempat makan.  Kita sambung lagi pukul tiga nanti,”ujar ketua projek itu.  Hassan kelihatannya gembira.  Dia bergegas menuju ke kereta. 
                “Hassan, nak kemana tu? Tak nak makan ke?”,laung Hamdan salah seorang temannya yang turut serta dalam projek itu.  Hassan menggeleng, lantas jarinya mengunjukkan jauh kea rah hujung kawasan pantai.
                “Kemana?,”soal Hamdan lagi tidak mengerti.
                “Solat Zohor dulu!  Jom ikut aku!,”ujar Hassan lagi cuba mengajak Hamdan turut serta
                “Lepas makanlah! Encik Razak kata nak belanja kita semua,”ujarnya pula berdalih
                “Ahh! Solat tak sampai sepuluh minit pun.  Tak lari kemana lah makan tengahari tu,”ujar Hassan memberikan pendapatnya.  Hamdan tidak terkata.  Abdul Razak dan dua lagi teman mereka sudah pun bergerak menuju ke laluan lain.
                “Kau solatlah dulu.  Aku menyusul kemudian,”Hamdan cepat-cepat mengikuti belakang kereta Abdul Razak dan meninggalkan Hassan dibelakang.  Hassan pula masih tetap dengan hasratnya dan menuju ke surau yang terletak  tidak jauh daripada situ.
                Pukul 3 petang.  Seperti yang dijanjikan, mereka berkumpul semula di kawsan tapak projek.  Kumpulan itu telah menghabiskan waktu hampir satu jam setengah makan dan berbual di restoran.  Tiada seorang pun setakat ini yang telah menunaikan solat zohor melainkan Hassan.  Perbincangan diteruskan dengan lebih serius lagi.  angka jam sudah menginjak ke pukul 3.30 petang.
                “Hamdan…dah pukul 3.30,”ujar Hassan mengingatkan Hamdan yang masih belum menunaikan solat zohor.  Hamdan kelihatannya resah.  Soalan-soalan daripada Encik Abdul Razak yang bertubi-tubi membuatkan Hamdan sibuk berinteraksi bersama ketuanya itu.  Hassan menyenggol Hamdan untuk mengingatkannya sekali lagi.  Nyata, dia tidak berhasil.
                Pukul 4 petang.  Perbincangan selesai.  Hamdan akhirnya menuju ke surau. Rakan-rakan sekumpulan Hamdan yang lain tidak pula kelihatan menyusul ke masjid.

RESPON CIK PADI
Ibnu Mas’ud r.a berkata: Saya bertanya kepada Nabi s.a.w.
“Apakah amal perbuatan yang utama? Jawab Nabi: Solat pada waktunya yang tepat.  Saya bertanya: Kemudian apakah? Jawab Nabi: Berjuang untuk menegakkan agama Allah.  (Bukhari dan Muslim)

KEFARDHUAN SOLAT
Solat adalah satu bentuk ibadah yang membezakan pelakunya dengan penganut agama yang lain.  Satu kefardhuan yang membezakan identiti seorang muslim ataupun sebaliknya. Mengikut sirah Rasulullah s.a.w solat merupakan satu hadiah besar yang Allah berikan kepada umat Nabi Muhammad melalui peristiwa Isra’ dan Mikraj.
  Jabir r.a berkata: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya batas yang memisahkan antara seseorang dengan kufur hanya solat.  Maka sesiapa meninggalkan solat bererti telah kafir. (Muslim)
                Solat adalah soalan pertama yang akan dibentangkan oleh Allah di padang mahsyar nanti.  Satu amanah yang seharusnya menjadi tanggungjawab sekalian ummat.  Satu amanah di mana Allah mempersoalkan berapa kali sehari perjumpaan bersama Allah kita telah penuhi.  Adakah kesemua perjumpaan itu dilaksanakan dengan sempurna ataupun pertemuan kita lima kali sehari itu terpenuhi dengan rasa tidak ikhlas dan cukup sekadarnya sahaja.
Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya yang pertama dihisab (diperhitungkan) pada seorang hamba di hari kiamat dari amal perbuatannya ialah solat, maka bila sempurna bererti telah lulus dan untung dan bila kurang atau rosak maka pasti kecewa dan rugi, dan jika terdapat kurang dalam solat fardunya. 
Allah berkata: Perhatikanlah kalau-kalau hambaku ada solat sunat untuk mencukupi kekurangan fardu.  Kemudian setelah selesai soal solatnya barulah lain-lain amal perbuatan dan kelakuan-kelakuannya.  (At-Tarmizi)

HIKMAH SOLAT


1-      Tanda allah sayangkan hambanya
Allah sengaja menyediakan waktu temujanji buat hamba-hambanya setiap hari.  Allah menyediakan waktu di mana kita boleh mengadu dan memohon keampunan kepadaNya di setiap lima waktu solat fardhu.  Allah mahu kita tahu bahawa dia adalah Allah yang menciptakan manusia dan Dia tidak mahu hambanya lupa kepada PenciptaNya.
                Adakah di dunia ini kita berjumpa dengan mana-mana raja yang memperuntukkan waktu yang banyak buat semua rakyatya? Sungguh, Allah suka mendengar hambanya meminta-meminta di dalam solat kerana setiap bacaan solat itu dipenuhi dengan:
·         Ucapan taat setia kepada Allah [Doa iftitah]
·         Perakuan kesalahan dengan taubat dan istighfar [Duduk antara dua sujud]
·         Permohonan untuk meluruskan hati dan akidah [Surah Al-Fatihah]



2-      Pemacu kejayaan
Azan menyeru manusia untuk mengerjakan solat dan melaluinya kita dapati bahawa solat adalah penyeru kepada segala kejayaan dan kebaikan.  Hal ini dapat dilihat melalui seruan solat  yang disertai dengan seruan kejayaan melalui kalimah:  Haiyya a’las solah dan Haiyya a’lal falah.
                Kejayaan tidak akan tercipta tanpa keizinan Allah.  Manusia hanyalah perancang dan Allah juga merancang.  Manusia tidak punya kuasa untuk memastikan segala perancangan itu berjalan lancar.  Tanpa keizinan Allah tiada satu pun perancangan di dunia ini dapat dilaksanakan.
                Manusia yang paling dekat dengan Allah lah yang akan dipilih untuk mendapatkan kejayaan.  Seseorang hamba yang berjaya tidak hanya berjaya di dunia malah berjaya di akhirat.  Hamba ini berjaya memenangi perhatian Allah untuk mendapatkan syurga di akhirat nanti.
                Melalui pandangan sains, solat adalah satu senaman yang dapat menambah kecergasan tubuh dan mencambah perkembangan otak yang baik.  Kalimah-kalimah yang digunakan dalam solat dapat memberikan aura positif kepada pengamalnya dan tidak hairanlah mengapa cendikiawan-cendikiawan yang hebat di dunia ini datangnya daripada umat Islam.  Ibnu Sina menurut kisah kehidupannya, akan bersolat sunat dua rakaat sekiranya dia tidak menemukan permasalahan bagi kajian beliau. 

3-      Muslim yang berdisiplin
Solat mendidik manusia untuk lebih berdiplin dalam beberapa hal seperti:
·         Bersolat di awal waktu
·         Bersolat dengan turutan dan tertib yang diajarkan Nabi
·         Mengamalkan kebersihan melalui wudu’
·         Membentuk akhlak dan peribadi mulia melalui bacaan-bacaan solat dalam setiap pergerakan solat
·         Mengajar diri untuk khusyuk dan fokus dalam pekerjaan
·         Sebagai memenuhi tuntutan Rukun Islam yang kedua

4-      Metod untuk mencapai redha allah
Banyak manusia yang lupa tentang matlamat akhir kehidupan mereka.  Setiap manusia seharusnya menanamkan matlamat untuk mencapat redha Allah, dengan itu barulah mereka layak untuk mendapat syurga Allah di akhirat nanti.  Manusia yang tidak layak akan dicampakkan ke dalam neraka Allah.  Nauzubillah hi min zalik.

SOALAN REFLEKSI
Di bawah adalah antara soalan-soalan  yang kita boleh tanyakan pada diri sendiri berkaitan dengan solat lima waktu:

1-       Adakah saya telah melaksanakan solat lma kali sehari seperti yang diperuntukkan oleh Allah buat saya          sehari-hari?
2-      Berapa kali saya bersolat di awal waktu?
3-      Sudah berapa banyak solat yang saya tinggalkan di sepanjang kehidupan saya?
4-      Ikhlas dan khusyukkah saya sewaktu bertemu Allah di dalam solat?
5-      Sudah berapa kali saya bertaubat kerana kelalaian saya ketika bersolat?
6-      Adakah solat yang saya lakukan selama ini diterima Allah?                                    GRAPE DOT COM


ARTIKEL SEBELUM INI: AKU BUKAN LALANG: Kaki Shopping

No comments:

Post a Comment